Friday, October 3, 2008

Sejarah Homopati

PENDAHULUAN
Homoeopati berasal dari dua perkataan iaitu "homoios" dan "pathos". Homoios bermakna serupa atau seumpama . Pathos pula bermaksud penderitaan , perasaan, atau penyakit. Oleh itu homoeopati merujuk kepada cara merawat penyakit atau pesakit menerusi prinsip serupa dengan yang serupa.
"Yang serupa" di sini merujuk kepada tanda-tanda atau symptoms. Tanda-tanda yang serupa disini ialah apabila seseorang itu mengalami tanda-tanda penyakit seperti pening dan loya, maka ia akan dirawat secara homoeopati dengan penawar yang mampu mengeluarkan tanda-tanda pening dan loya yang serupa. Itulah maksud "homoeopathy" pada asasnya.
Dari sudut sejarah, konsep dan undang-undang asas homoeopati telah bermula sejak zaman Hippocrates lagi. Beliau pernah menulis "By similar things a disease is produced and through the application of the like, it is cured", yang bermaksud menerusi benda yang serupa sesuatu penyakit itu terjadi dan menerusi aplikasi yang serupa juga ia disembuhkan. Pengasas sistem "Homoeopati" ini adalah Dr. Samuel Hahnemann seorang ahli perubatan German dan menjadikan sistem ini sebagai satu sistem perubatan yang saintifik. Cristian Friedrich Samuel adalah nama sebenar yang diberikan kepada Dr. Samuel Hahnemann.

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN HOMOEOPATI
Pada tahun 1789, Dr. Samuel Hahnemann sentiasa berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat lain dan dari pengalaman dan pengamatannya, beliau merasakan amalan perubatan pada masa itu adalah kasar , tidak bertamadun dan kurang berkesan. Dalam keadaan ini satu sistem perubatan baru iaitu "homoeopati" mula diperkenalkan.
Semasa Dr. Hahnemann menterjemah sebuah buku dari Bahasa Inggeris ke Bahasa German yang ditulis oleh Dr. William Cullan yang berjodol "A Treaties On Materia Medica", beliau telah berdepan dengan sejenis ramuan – Cinchona officinalis (Peruvian Bark / Fever tree / Jesuit’s Bark). Cinchona tersebut pernah digunakan untuk merawat malaria di Amerika Selatan dan Eropah. Dr. Hahnemann telah mencuba beberapa dos Cinchona dengan tujuan untuk menguji kesan dan implikasinya.
Pada tahun 1799, satu bencana melanda Leipzig iaitu merebaknya wabak scarlet. Dalam pada itu Dr. Hahnemann mendapati Belladonna sangat serupa dengan simptom demam scarlet. Dr. Hahnemann memberikan penawar Belladonna kepada kanak-kanak di Leipzig dalam dos yang diperkecilkan dan ternyata ramai kanak-kanak terselamat dari wabak scarlet. Buku "Organon of The Healing Art" mengandungi rumusan-rumusan homoeopati dan Dr. Hahnemann mengembangkan prinsip asas homoeopati kepada "SIMILIA SIMILIBUS CURENTUR" atau Let likes be cured with likes.
Sementara asas sains yang dianjurkan oleh Dr. Hahnemann dalam seni kesembuhan adalah terdiri dari Undang-undang Seraksi, pilihan dos minimum yang sesuai dan ulangan dos. Kini Organon diiktiraf sebagai bahan rujukan utama dalam pengamalan ilmu homoeopati di seluruh dunia. Beliau juga menekankan kesembuhan kekal yang hanya boleh diperolehi menerusi "penawar homoeopati dalam dos yang kecil". Akhirnya , pada 2hb. Julai 1843, Dr. Hahnemann telah menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau telah bergelut dengan berbagai tragedi dalam memperjuangkan perubahan dan mengembangkan sistem perubatan homoeopati.
Perkembangan perubatan homoeopati di Malaysia pula diasaskan oleh seorang tokoh yang amat berjasa dan terkenal kepada tanah air iaitu Prof. Dr. Burhanuddin Al-Helmy (1911 – 1969). Dan pada tahun 1953/1954 adalah merupakan tahun bersejarah kerana lahir sebuah institusi atau pusat pengajian homoeopati yang pertama secara informal di rumah Dr. Burhanuddin sendiri iaitu di kampung Panchitan, Singapura.
Pada tahun 1960 tertubuhlah sebuah persatuan homoeopati yang pertama di Malaysia yang dikenali dengan nama "Persatuan Homoeopati Malaya" dan pada tahun 1979 persatuan ini diubah namanya kepada Persatuan Perubatan Homoeopati Malaysia atau singkatannya PPHM.

FALSAFAH PERUBATAN HOMOEOPATI
Falsafah perubatan homoeopati dirujuk kepada falsafah kesembuhan sebagaimana yang diterangkan dalam para 1 Organon , iaitu :
"The physician’s high and only mission is to restore the sick health, to cure as it is termed".
Ertinya : setinggi-tinggi dan satu-satunya tugas doktor itu ialah mengembalikan sakit kepada sihat sebagaimana yang dikehendaki.
Sementara tentang caranya diterangkan di dalam para 2, Organon seperti berikut :
"Cara penyembuhan yang paling ideal ialah mengembalikan kesihatan dengan jalan yang cepat, lemah lembut dan berkekalan, atau menyembuhkan penyakit secara keseluruhannya dalam jangka masa pendek, dapat dipertanggungjawabkan serta paling tidak memudaratkan menurut kaedah yang ma’kul".
Jalan yang cepat yang dimaksudkan oleh Dr. Hahnemann ialah tanpa penangguhan yang tidak perlu , merugikan masa dan wang. Sementara lembut dan paling tidak memudaratkan memberi erti melakukan dengan mesra dan tanpa kesan sampingan dadah (toxic) akibat terlampau banyak ubat. Berkekalan bermaksud dengan tidak banyak menekan tanda-tanda atau simptom yang memungkinkan ia muncul kembali dalam apa bentuk sekalipun. Keseluruhan penyakit merujuk kepada bukan satu simptom tetapi keseluruhan simptom-simptom. Kaedah yang ma’kul pula bererti dengan tidak menggunakan sihir atau kepercayaan karut, tetapi hendaklah mengikut cara yang saintifik.
Oleh itu, sistem homoeopati dapat disimpulkan sebagai satu sistem perubatan yang berdasarkan kepada cara-cara yang lemah lembut untuk membantu tubuh dalam usaha mencapai kesembuhan iaitu dengan menghilangkan penyakit.

KLASIFIKASI PENYAKIT
Dr. Hahnemann membahagikan penyakit kepada dua kumpulan iaitu "penyakit-penyakit akut" dan "penyakit-penyakit kronik". Penyakit-penyakit akut ialah dari jenis penyakit yang bertindak singkat dan sementara. Contohnya ialah seperti demam biasa dan demam campak.
Penyakit-penyakit kronik pula bersifat kekal atau hampir kekal dengan tidak dapat ditentukan bila bermula, berlangsung dan berakhir. Menurut Dr. Hahnemann, penyakit kronik memaparkan hidapan secara kekal ke dalam tubuh berpunca dari tiga "miasm" yang dikenali sebagai psora, syphilis dan sycosis. Miasm boleh diertikan sebagai gangguan pada fisiologi secara berterusan selepas jangkitan penyakit walaupun kumannya sudah lama dihapuskan. Biasanya penyakit-penyakit kronik miasm ini dibawa secara turun temurun. Contoh miasm psora ialah scabies, miasm syphilis ialah kerosakan tisu-tisu, organ-organ dan tulang dan contoh miasm sycosis seperti ketuat dan "ganglia".

PEMILIHAN PENAWAR ATAU UBATAN
Pemilihan penawar atau ubatan berdasarkan prinsip-prinsip asas homoeopati , terutamanya prinsip "individualisation" dalam rawatan dan Undang-undang Seraksi. Dengan cara itu kita dapati penawar yang dipilih untuk satu-satu penyakit akan berlainan apabila diberikan kepada orang atau pesakit yang berlainan. Inilah yang membezakan perubatan homoeopati dengan perubatan allopati. Allopati mengubati penyakit tetapi homoeopati mengubati individu yang sakit.
Dalam homoeopati, faktor-faktor yang membawa kepada pemilihan penawar atau ubat ada tiga iaitu : simptom-simptomnya, punca timbul penyakit dan faktor-faktor miasm. Proses runding cara (kaunseling) dan individualisasi memainkan peranan yang penting dalam rawatan homoeopati.


MATERIA MEDICA

PENGENALAN
Secara terminologi atau secara mudahnya Materia Medica atau Medical Material ialah satu senarai penawar-penawar atau ubat-ubatan. Secara khususnya , Materia Medica homoeopati merujuk kepada rekod-rekod tentang kesan-kesan bahan bernilai perubatan yang aktif ke atas orang yang sihat , yang secara teknikalnya dikenali sebagai "uji bukti" atau proving. Dalam homoeopati, terdapat pelbagai jenis Materia Medica, tetapi kesemuanya hampir sama sahaja antara satu sama lain dilihat dari uji bukti sebenar.
Bagaimanapun penulis-penulis buku Materia Medica tersebut mempunyai cara tersendiri dalam penulisan bukunya, iaitu sama ada menjadikannya lebih mudah atau lebih sukar difahami. Itulah yang membezakan antara buku Materia Medica yang lain.

Pengetahuan Tentang Penawar atau Ubatan
Seorang pengkaji Materia Medica harus melihat kepada "proving" penawar atau ubat dan kemudian aplikasinya. Seseorang yang ingin mendalami ilmu homoeopati sekurang-kurangnya perlu mahir dengan 20 atau 30 jenis penawar. Setiap individu yang ingin mendalami ilmu tentang penawar-penawar homoeopati mestilah mempunyai sikap tekun, sabar dan istiqamah dalam menghafal dan mendalami ilmu tentang penawar-penawar.

Hubungan Penawar
Penawar-penawar homoeopati boleh dikumpulkan kepada tiga kumpulan. Kumpulan-kumpulan ini dibahagi berdasarkan tindakan penawar yang berhubungkait dengan penawar-penawar lain. Kumpulan-kumpulan tersebut ialah :-
PENAWAR-PENAWAR PENGGENAP
Penawar-penawar penggenap atau complementary remedies ialah penawar-penawar yang boleh bekerja bersama-sama atau penawar yang membantu menyelesaikan kerja-kerja penawar-penawar asas sebelumnya. Contohnya, selepas Aconite boleh diberi Arnica atau Bryonia atau selepas Aloe boleh diikuti dengan Kali bich.

PENAWAR-PENAWAR BERMUSUH
Penawar ini saling bermusuh antara satu sama lain. Penggunaan mana-mana penawar yang ‘ inimical ‘ setelah penawar asas telah diberi, boleh mengusutkan atau menambahkan komplikasi penyakit. Ini menyebabkan rawatan semakin sukar dilakukan. Contohnya, apabila penawar Allium sativa diberi selepas Aloe, ia bukan sahaja menghentikan tindakan Aloe, tetapi turut merosakkan sistem tubuh dengan simptom baru serta menyukarkan rawatan seterusnya.

PENAWAR-PENAWAR ANTIDOT
Penawar-penawar antidot atau antidotal remedies merupakan penawar pemati. Dos yang berlebihan yang tidak disengajakan boleh bertindak mengganggu sistem tubuh. Untuk mematikan atau meneutralkan simptom-simptom yang meracuni sistem, terdapat penawar-penawar yang boleh membantu mematikan penawar sebelumnya. Contohnya, apabila berlaku dos yang berlebihan Aloe, kita boleh mematikan kesan buruknya dengan memberikan penawar Champhor atau Nux Vomica.

MATERIA MEDICA RINGKAS
Aconitum napellus
Aconite adalah penawar yang disaran apabila simptom muncul dengan tiba-tiba, terutama akibat terdedah kepada angin sejuk dan kering, seperti demam terkena embun atau angin sejuk. Biasa tanda pada peringkat permulaan ialah demam, selesema, keradangan dan seumpamanya.
Kes-kes yang dirujuk termasuklah demam kulit panas dan kering, gelisah serta cemas akibat terperanjat, terkejut atau takut.
Aconite juga disebut sebagai penawar " short-acting " yang sangat berguna sewaktu permulaan bagi penyakit akut.

Allium cepa
Kegunaannya : Demam dengan simptom hidung berair, mata berair dan berhingus serta bersin yang kuat. Demam ‘hay fever’ dan sakit kepala.
Sakit bahagian larinks ketika batuk.
Melarat di bilik yang panas, bila kaki basah dan semakin lega di tempat yang terbuka.

Alumina
Kegunaannya : Tali perut tidak aktif atau lemah.Sembelit, najis keras atau berketul-ketul serta berlendir. Jika najis lembut, tetapi memerlukan peneranan yang lebih ketika buang air besar.
Dapat mematikan racun akibat daripada aluminium.
Simptom alumina termasuk serba salah, lemah, letih, kering seperti kering tekak dan kering kulit dan lapar terhadap makanan tidak hadam.
Lega bila petang, semakin baik di tempat yang terbuka.

Aloe vera
Penggunaannya : Boleh menyelesaikan masalah gastrik, sembelit, cirit-birit, buasir, senggugut, tekanan darah tinggi, kencing manis, jerawat, keguguran rambut dan lain-lain lagi.
Kegunaannya adalah meliputi luaran dan dalaman dan memberikan kesan yang cepat.

Arnica montana
Kegunaannya : Kesan trauma, kepenatan atau kemalangan yang melibatkan barang tumpul. Ia meliputi sakit belakang, terpelecok, pedarahan, lebam-lebam, urat tegang dan berbisa serta letih setelah bekerja.
Simptom-simptom bagi mental : Kehilangan rasa, takut atau mudah takut, pengsan selepas mengalami kemalangan mekanikal.
Simptom-simptom fizikal : Tubuh rasa berbisa, lenguh-lenguh, lebam-lebam dan sensitif dengan sentuhan. Terdapat tanda biru dan kehitaman.

Atropa belladonna
Kegunaannya : Radang dan demam akiut.
Simptom : Anak mata besar terbeliak, muka merah padam dan penyakit tersebut cepat datang dan cepat hilang.
Belladonna biasanya digunakan dalam kes selsema selepas gunting rambut atau selepas pertukaran udara, sakit kerongkong, sakit kepala, sakit telinga, demam balun, sawan hendak tumbuh gigi dan bisul merah di peringkat permulaan. Sangat sensitif dengan pergerakan, disentuh, cahaya dan bunyi.

Bryonia album
Bryonia adalah penawar polycrest untuk pelbagai penyakit.
Kegunaannya : batuk kering, sakit kepala bila bergerak, cirit-birit apabila makan buah-buah masam,bisa-bisa reumatik, bisa-bisa tempurung lutut dan radang kerongkong.
Simptom yang utama dikenal pasti : melarat bial bergerak, sangat dahaga. Lega bila diam di tempat yang terbuka.

Calendula
Penting disimpan dan penawar utama dalam pertolongan cemas kerana ia penawar antiseptik homoeopati.
Kegunaannya : berkesan untuk kulit luka, kulit terkoyak selepas pembedahan, luka selepas bersalin dan lain-lain jenis luka. Juga berguna bagi menghentikan darah selepas cabut gigi.
Penggunaan Calendula merangsang kesembuhan, mengelak dari bernanah dan mengurangkan parut luka. Boleh diambil secara internal dalam potensi rendah. Boleh juga disapu untuk aplikasi setempat, iaitu yang disediakan dalam bentuk losyen atau ointment. Calendula dalam bentuk powder pula berguna untuk ruam panas, kulit merah atau sakit-sakit seperti yang terdapat dicelah peha, lengan dan leher bayi.

Cantharis
Kegunaannya : terbakar dan melecur. Rasa sakit atau panas seperti terbakar, terutama di kemaluan atau saluran kencing. Susah untuk membuang air kecil.
Mental pesakit : dicirikan dengan keadaan resah, serba salah dan sangat kuat dorongan seks.

Euphrasia
Penawar yang bekerja di kawasan mata. Selalu diguna untuk sakit mata merah atau sakit mata kerana tercedera.
Simptom : banyak tahi mata dan air mata.
Batuk, khusus bagi batuk siang hari, semakin lega bila malam.

Gelsemium
Berguna untuk orang yang mengalami rasa takut dan fobia, terutama apabila menggeletar dan rasa mahu terkencing. Contohnya takut jatuh atau takut pergi cabut gigi. Rasa degupan jantung terhenti tiba-tiba.
Disarankan bagi mereka yang rasa letih, mengantuk dan tak bermaya.
Aduan fizikal: Sakit kepala, migraine. Sangat berguna bagi influenza, selesama atau sakit kerongkong.

Hypericum
Kegunaannya : baik sekali untuk luka yang kecil dan menyakitkan. Luka terhiris, terguris atau menggelupas. Terutama luka yang melibatkan urat saraf dan luka tertusuk.
Simptom : pesakit selalu lupa dan sering buat kesilapan. Sensitif dengan cuaca sejuk.

Ipecacuanha
Kegunaannya : Berguna untuk rasa loya yang tidak lega dengan muntah-muntah. Tumpah darah, seperti hidung berdarah, asama, sakit pembuluh pernafasan, nafas berbunyi seperti siulan serta muntah-muntah.
Cirit-birit bagi kanak-kanak dengan najis berwarna hijau.
Segi mental : ia berkehendakan sesuatu yang ia tidak tahu dan pesakit selalu lega di tempat yang terbuka.

Ledum palustre
Penawar utama untuk luka tertusuk dan berguna untuk sengatan binatang.
Kerap digunakan untuk bisa gout, bisa pirai atau luka-luka. Terutama untuk anggota bawah yang melarat naik ke atas. Bisa di ibu jari kaki atau tumit bengkak.

Nux vomica
Penawar yang sesuai untuk orang yang hidup mewah. Orang yang ketagihan arak, rokok, kopi , makanan berempah dan orang yang banyak makan ubat-ubatan yang mengandungi dadah.
Kegunaannya : untuk sembelit, orang yang terlalu sensitif, kurus dan berambut hitam, gastrik, ketagihan bahan-bahan seperti rokok, kopi, dadah dan lain-lain.

Thuja occidentalis
Dikenali sebagai raja penawar bagi anti-sycosis.
Kegunaannya : sakit ketumbuhan seperti ketuat, sakit di sebelah kiri seperti uluran (air pasang) lumpuh sebelah kiri dan sakit sarang telur (ovary).

Sambucus
Penawar khusus bagi hidung tersumbat di kalangan kanak-kanak : susah bernafas terutama di waktu malam , yang menyebabkan sukar untuk tidur juga sekiranya terdapat tanda sembab di kaki dan di hidung.

PENUTUP
Mengimbau kembali sejarah bermulanya homoeopati sejak zaman penemuan sehingga ia berkembang ke berbagai negara, jelaslah bahawa zaman yang dilalui oleh Dr. Hahnemann merupakan zaman yang sangat sukar dan penuh tribulasi.
Perkembangan mutakhir yang memberangsangkan kepada perubatan homoeopati bermula sejak akhir 1970an apabila orang ramai mulai sedar tentang kesan-kesan sampingan dan unsur-unsur ketagihan terhadap penggunaan ubat-ubatan moden.
Selain itu masyarakat juga mula sedar mengenai keterbatasan sistem rawatan allopati yang tidak mampu mengubati semua jenis penyakit. Contoh yang jelas dapat dilihat dalam kegagalan dalam merawat sesetengah jenis kanser dan AIDS.
Ada juga yang beralih kepada rawatan homoeopati justeru itu ia dianggap lebih selamat dan tidak mengandungi sebarang bahan dadah. Rawatannya pula boleh didapati dengan secara relatifnya lebih murah.
Akhir sekali, kita juga dapat saksikan bagaimana bertambahnya kesedaran di kalangan masyarakat tentang senaman, pemakanan, cara hidup sihat di samping kecenderungan masyarakat hari ini kepada rawatan secara holistik. Semua ini membantu ke arah penerimaan semula masyarakat terhadap homoeopati.

RUJUKAN
Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy 1985, Sepintas lalu Perkembangan Ilmu Perubatan , Majalah Perubatan Homoeopathy. Jil.1.
"Dr. Cristian samuel Hahnemann", 1985, Majalah Perubatan Homoeopathy, Jil.1.
Mohammed Hatta Abu Bakar,1995, Perubatan Homoeopati.
Banja, Dr. K.C, 1979, Masterkey to Homoeopathic Materia Medica.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah 
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA 

HP: 013-4006206
PJ: 04-9882701
RU: 04-9882597


No comments: